Zailani Harun (kiri), Che Saidi Yusof(kanan)
JELI, 24 FEB 2010 – Pendekatan 2B Bersaing (Berkawan) dan Berbakti UMNO Kelantan untuk merampas kembali negeri ini daripada Pas disifatkan pendekatan molek dan terbaik.
Ketua Cawangan UMNO Panglima Bayu, Zailani Harun berkata, moto 2B itu disifatkannya sesuai dan tepat pada masanya.
Menurutnya, 2B tersebut mampu mengembalikan kekukuhan UMNO di negeri ini dan perkara tersebut secara tidak langsung mempunyai kemampuan menampal lubang-lubang yang ada untuk UMNO terus bertapak kukuh dan menawan Kelantan.
“Untuk merealisasikan 2B ini, saya berpendapat bahawa peringkat cawangan seumpamanya perlu dimantapkan perjalanannya.
“Peringkat-peringkat cawangan ini perlu rapat dengan rakyat, boleh menyelesaikan masalah dan sebagai parti memerintah keperluan memudahkan sesuatu perkara selain mengelak karenah birokrasi akan memberi laluan mudah untuk menawan hati rakyat,”katanya.
Kata beliau, kesemua bahagian di Kelantan perlu menyahut moto ini dan pendekatan To’ Pa ini berkemampuan membawa perubahan kepada negeri ini pada pilihanraya akan datang.
Penyelia Pembangunan Mukim (PPM) Batu 11, Che Saidi Yusof, berkata, 2B merupakan perkara baik dan gaya serta kepimpinan To’ Pa harus dicontohi, dituruti kesemua kepimpinan UMNO di negeri ini sehinggalah ke peringkat cawangan.
Katanya, untuk menawan Kelantan, hati rakyat perlu ditawan terlebih dahulu kerana disinilah akan bermulanya satu anjakan positif kelak.
“Sebelum tibanya pilihanraya, 2B ini perlu dimulakan dari sekarang dan keperluan turun ke akar umbi memenangi hati rakyat ini perlu disegerakan oleh semua.
Kata beliau, untuk dekat dan disayangi rakyat menerusi 2B, keperluan dari segi kepimpinan juga perlu mantap.