Carian  
07 Februari 2012 ..:: e-Buletin ::..   Daftar Masuk
 Mustapa Sedih Dituduh Derhaka Dan Pengkhianat Kepada Rakyat Kelantan Minimize
Location: BlogsBuletin JeliBerita Parlimen Jeli    
Posted by: umnojeli_admin 22 Februari 2010

mustapa menyampaikan replika cek.jpg

Mustapa menyampaikan replika cek kepada Datuk Kamaruddin Mat Zin (kanan)

KOTA BAHARU, 21 Feb (Bernama) -- Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed meluahkan rasa sedih apabila dianggap mengkhianati rakyat Kelantan kerana tidak memihak kepada kerajaan negeri yang diteraju PAS dalam menuntut royalti minyak.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri itu berkata beliau telah melakukan yang terdaya mengikut keupayaannya sebagai anggota kerajaan persekutuan sejak 1996 dalam memperjuangkan nasib rakyat Kelantan meskipun mereka ditadbir oleh parti PAS.

"Sebagai anak jati Kelantan, saya sanggup meluluskan peruntukan berpuluh juta ringgit bagi membiayai projek-projek pembangunan untuk kepentingan kerajaan negeri," katanya kepada pemberita selepas majlis perhimpunan bulanan warga jabatan-jabatan persekutuan di sini.

Beliau memberi contoh antara projek pembangunan yang pernah diluluskannya ialah pembangunan Medan Tuan Padang bernilai RM1 juta, Pasar Siti Khadijah (RM3.3juta) dan Medan Usahawan Perbadanan Stadium Kelantan bernilai RM5 juta.

"Saya amat sedih dan dukacita jika dalam begini saya masih dikatakan sebagai rakyat yang derhaka dan mengkhianati rakyat Kelantan kerana semata-mata tidak menyokong kerajaan negeri dalam tuntutan royalti minyak yang diperjuangkan kerajaan negeri ini," kata Anggota Parlimen Jeli itu.

Mengenai isu royalti itu, Mustapa berkata beliau telah membantu rakyat Kelantan mendapat wang ihsan yang bakal diagih pada Mac ini.

"Soal tuntutan kerajaan negeri untuk mendapatkan wang royalti itu tidak berbangkit lagi, yang pastinya rakyat akan mendapat faedah melalui wang ihsan, cuma kaedahnya berbeza," katanya.

Mustapa diminta mengulas mengenai ceramah-ceramah yang diadakan penyokong PAS yang antara lain menyifatkan beliau sebagai pengkhianat dan menderhaka kepada rakyat Kelantan berhubung isu royalti minyak tersebut.

Mustapa menegaskan kerajaan persekutuan juga tidak pernah menganak tirikan Kelantan dalam agihan peruntukan pembangunan sepanjang negeri itu ditadbir PAS sejak 20 tahun lepas.

Malah katanya peruntukan yang diberi kepada kerajaan negeri Kelantan adalah berkali ganda lebih banyak berbanding kutipan hasil yang diserah kepada kerajaan pusat.

-- BERNAMA

Permalink |  Trackback

  

 Kategori Minimize

      

 Buletin Jeli Minimize

    

 Buletin Jeli Minimize

    

Hak Cipta Terpelihara © 2006 HeiTech Padu Berhad   Terms Of Use  Privacy Statement