Carian  
06 Januari 2009 ..:: e-Buletin ::..   Daftar Masuk
 Penempatan Pelajar di Mesir diselaras Minimize
Location: BlogsBuletin JeliBerita Parlimen Jeli    
Posted by: umnojeli_admin 08 Mei 2007

MESIR 07 MEI 2007 - Penghantaran dan penempatan pelajar Malaysia mengikuti pengajian perubatan di universiti Mesir akan diselaraskan bagi memastikan hanya mereka berkualiti mendapat peluang itu, mulai tahun ini.

   Menteri Pengajian Tinggi, Dato‘ Mustapa Mohamed, berkata langkah itu diambil bagi memastikan graduan dilahirkan bukan saja cemerlang akademik, malah pelbagai aspek lain, termasuk penguasaan ilmu agama.

   Beliau berkata, kemasukan pelajar Malaysia mengikuti pelbagai bidang pengajian, khususnya perubatan ke tujuh universiti Mesir selama ini tidak selaras, terutama dari segi kelayakan minimum.

   Katanya, penempatan pelajar di sesebuah universiti juga tidak seragam kerana ada yang terlalu ramai dan kemasukan mereka juga sebahagian besarnya secara rundingan terus dengan universiti terbabit.

   Berdasarkan jumlah tempat yang dikhaskan kepada pelajar Malaysia mengikuti bidang perubatan di universiti Mesir tahun ini, kita akan selaraskan dan hanya pelajar yang benar-benar layak akan dihantar,” katanya kepada pemberita Malaysia sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur kelmarin, selepas mengadakan lawatan kerja hampir seminggu ke Arab Saudi dan Mesir.

   Sepanjang lawatan yang turut disertai pegawai kanan Kementerian Pengajian Tinggi itu, pelbagai program dijalankan antaranya melawat fakulti perubatan di beberapa universiti Arab Saudi dan Mesir serta kunjungan hormat kepada Menteri Pengajian Tinggi kedua-dua negara.

   Mengenai pemilihan universiti pula, Mustapa berkata, agensi penaja digalakkan menghantar pelajar ke Universiti Al-Azhar kerana selain pengkhususan perubatan berkualiti, penuntut diwajibkan menghafal 20 juzuk al-Quran.

   “Peluang ini baik kerana doktor yang dikeluarkan nanti bukan saja mahir dalam profesion mereka, malah turut menguasai bahasa Inggeris dan Arab serta ilmu al-Quran,” katanya.

   Mustapa berkata, tahun ini, jumlah tempat yang disediakan untuk pelajar Malaysia mengikuti pengajian dalam bidang perubatan ditingkatkan iaitu tidak kurang daripada 500, berbanding 499 tahun lalu.

   Selain tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA), sebahagian pelajar terbabit menyambung pengajian mereka di Mesir selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia secara persendirian atau ditanggung ibu bapa.

   Sambil menjelaskan sekitar 6,000 pelajar Malaysia menuntut di Mesir hari ini dengan 600 orang mengikuti pengajian perubatan, beliau berkata, pihak universiti Mesir berpuas hati dengan pencapaian pelajar Malaysia.

   Sementara itu, pada majlis ramah mesra dengan pelajar Malaysia di sini malam kelmarin, Mustapa berkata, satu jawatankuasa dianggotai kakitangan Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK), penuntut dan pihak universiti akan ditubuhkan bagi menyelesaikan masalah pelajar.

   Hadir sama bersama 500 pelajar dari tujuh universiti Mesir itu ialah Duta Besar Malaysia ke Mesir, Datuk Zainal Abidin Abdul Kadir dan Pengarah JPMK, Prof Madya Dr Mohd Fakhrudin Abdul Mukti.

-Berita Harian-

Permalink |  Trackback

  

 Kategori Minimize

      

 Buletin Jeli Minimize

    

 Buletin Jeli Minimize

    

Hak Cipta Terpelihara © 2006 HeiTech Padu Berhad   Terms Of Use  Privacy Statement