ARAB SAUDI (Riyadh) 06 MEI 2007 - Kementerian Pengajian Tinggi akan menggandakan usaha mempromosi pendidikan tinggi ke luar negara, khasnya mengadakan pameran bagi mencapai sasaran 100,000 pelajar asing mengikuti pengajian tinggi di Malaysia menjelang 2010.
Terbaru, sejumlah 17 Institusi Pengajian Tinggi (IPT) awam dan swasta Malaysia menyertai Simposium dan Pameran Latihan dan Pendidikan Asia Barat berlangsung di sini selama tiga hari berakhir Khamis lalu.
Sehingga pagi Khamis, lebih 1,460 pelajar melawat gerai IPT Malaysia pada pameran yang turut disertai 15 negara lain, antaranya Australia, Kanada, Mesir, India, Britain dan New Zealand itu.
Menteri Pengajian Tinggi, Dato‘ Mustapa Mohamed, berkata pameran bagi mendedahkan peluang pendidikan tinggi Malaysia itu adalah yang terbesar pernah disertai di luar negara.
Kita akan adakan pameran sama di negara lain bagi mendedahkan pendidikan tinggi negara, sekali gus menarik minat lebih ramai pelajar asing belajar di Malaysia. Mutu program ditawarkan adalah kekuatan pendidikan Malaysia.
“Untuk mengikuti pengajian universiti negara lain pun boleh kerana ada cawangan atau program dijalankan secara bersama dengan IPT Malaysia, jadi tidak perlu ke negara berkenaan, sebaliknya ke Malaysia,” katanya pada sidang akhbar mengenai pameran itu, kelmarin.
Bercakap kepada pemberita di Riyadh sebelum itu, beliau berkata, kerajaan Arab Saudi memandang tinggi hubungan dalam pelbagai bidang dengan Malaysia, khususnya pengajian tinggi.
Katanya, kerajaan negara itu amat berminat menjalin kerjasama lebih rapat, terutama dalam bidang pengajian tinggi berikutan perkembangan pesat sektor pendidikan di negara minyak itu.
Beliau berkata, semua itu berlaku selepas lawatan Raja Arab Saudi, Raja Abdullah ke Malaysia awal Januari lalu yang turut mengarahkan pelbagai kementeriannya menjalin kerjasama dalam bidang masing-masing, sekembalinya ke tanah air.
Hubungan kedua-dua negara kini semakin melebar, bukan saja dalam bidang pendidikan, malah pelbagai sektor lain seperti pelancongan dan perniagaan.
"Ia memberi peluang rakyat Malaysia menyertai sektor pekerjaan di Arab Saudi. Contohnya, kini 1,000 jururawat rakyat kita berkerja di Jeddah, Riyadh dan Tarbouk," katanya Malaysia selepas membuat kunjungan hormat kepada Gabenor Riyadh, Putera Salman Abdul Aziz.
-Berita Harian-