WINDHOEK (Namibia) 22 APRIL 2007– Malaysia menyasarkan negara- negara Afrika selain China, Indonesia dan Asia Barat bagi menambah bilangan pelajar asing di institusi pengajian tinggi yang disasarkan 100,000 orang menjelang tahun 2010.
Menteri Pengajian Tinggi, Dato‘ Mustapa Mohamed berkata, kementerian, universiti awam dan swasta kini giat menjalankan promosi untuk menarik pelajar dari negara-negara berpotensi berkenaan.
“Jumlah yang kita sasarkan satu peningkatan ketara berbanding 50,000 pelajar asing sekarang dan kerajaan akan berusaha melalui langkah serampang dua mata bagi mencapai matlamat ter- sebut dengan kerjasama universiti awam dan swasta,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini hari ini.
Mustapa berada di sini untuk menyertai rombongan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang melakukan lawatan tiga hari ke Namibia yang bertujuan mengeratkan hubungan perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara.
Namibia merupakan negara ketiga dilawati Perdana Menteri dalam lawatan lapan hari ke tiga negara Afrika termasuk Sudan dan Kenya.
Mustapa berkata, Universiti Malaya (UM) umpamanya telah mengadakan program promosi di Kenya baru-baru ini yang mendapat sambutan menggalakkan.
“Saya dimaklumkan ramai pelajar dari negara itu yang bukan sahaja berminat belajar di peringkat siswazah di Malaysia, malah ramai berminat melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana dan doktor falsafah,” jelasnya.
Tambah Mustapa, kebanyakan mereka berminat belajar dalam bidang pengajian perniagaan.
Pada masa ini, katanya, kira-kira 600 pelajar Kenya dan 500 pelajar Botswana mengikuti pengajian dalam pelbagai bidang di Malaysia.
Semasa di sini, Mustapa turut berbincang dengan Menteri Pendidikan Namibia, Nangolo Mbumba bagi mengadakan memorandum persefahaman berkaitan pen- didikan vokasional dan penempatan pensyarah Namibia di Malaysia.
Semalam, Kolej Universiti Binary telah menyampaikan sumbangan RM165,000 untuk menaja yuran pengajian lima orang pelajar Namibia bagi menjalani kursus sarjana pentadbiran perniagaan dan sarjana sains teknologi maklumat di Malaysia.
Tajaan itu ialah bagi yuran tuisyen, visa dan yuran peperiksaan untuk tempoh pengajian empat semester yang diserahkan Ketua Pegawai Eksekutif dan Naib Canselor Kolej Universiti Binary, Prof. Joseph Adaikalam kepada Mbumba.
-Utusan-