Carian  
06 Januari 2009 ..:: e-Buletin ::..   Daftar Masuk
 18 IPTA Sepakat Jalin Kerjasama Dengan MPI Minimize
Location: BlogsBuletin JeliBerita Parlimen Jeli    
Posted by: umnojeli_admin 04 Mei 2007

PUTRAJAYA 04 MEI 2007 - Semua 18 Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bersetuju supaya Kementerian Pengajian Tinggi mewujudkan usaha sama dengan Institut Akhbar Malaysia (MPI) bagi menganjurkan kursus penulisan untuk siaran media massa.


   Program itu penting bagi membolehkan penulis akademik mendapat garis panduan dan mengenal pasti topik serta kaedah penulisan sesuai dengan kehendak media massa kerana penulisan akademik berbeza dengan penulisan umum.

   Persetujuan itu adalah antara 10 resolusi peserta bengkel membincangkan isu kerjasama IPTA dan Media: Cabaran, Peluang dan Masa Depan, pada Dialog Kementerian Bersama Media yang dirasmikan menterinya, Dato‘ Mustapa Mohamed di Putrajaya, baru-baru ini.

   MPI di bawah Kementerian Penerangan mempunyai kepakaran, penulis berpengalaman dan berkelayakan dapat dikongsi untuk kebaikan bersama.

   Usaha sama berkenaan memerlukan sokongan semua pihak terutama kementerian supaya saintis, mahupun penyelidik dapat berkongsi pengetahuan dan kepakaran dengan pengamal media dalam usaha menghasilkan penulisan yang mudah difahami.

   Peserta dialog, Mohd Yahya Mohamed Ariffin, berkata kerjasama berkenaan membantu mewujudkan persefahaman secara langsung di antara ahli akademik, penulis dan media.

   Kedua-dua pihak, katanya memerlukan antara satu sama lain. Media memerlukan bahan penulisan berkualiti daripada ahli akademik yang mana artikel berkenaan perlu disampaikan dengan lebih mudah supaya difahami golongan sasar.

   Bagaimanapun, beliau berkata, kini wujud senario di mana hasil penyelidikan dan pembangunan IPTA tidak dapat dihebahkan kerana ia gagal sampai kepada pengetahuan umum.

   Ia bukan disebabkan tidak ada penyumbang di kalangan saintis, sebaliknya sumbangan mereka tidak dapat digunakan kerana penggunaan istilah terlalu berat dan sukar difahami.

   “Penulisan yang baik adalah nukilan yang dapat difahami pembaca dengan menggunakan bahasa ringkas dan mudah,” katanya yang juga Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya (UM).

   Mohd Yahya berkata, ahli akademik diberi peluang secukupnya oleh media untuk berkarya, bagaimanapun mereka memerlukan latihan. Penggunaan perkataan serta laras bahasa mudah penting supaya artikel berkenaan menarik untuk dibaca.

   Beliau berkata, IPTA menerusi jabatan berkaitan boleh mengendalikan program berkenaan. Kerjasama daripada pengamal akhbar membentuk satu kerjasama pintar supaya perkongsian maklumat serta kepakaran dapat dilaksanakan.

   MPI katanya, mempunyai kepakaran, penulis berpengalaman dan berkelayakan dapat dikongsi untuk kebaikan bersama.

   “Kerjasama ini boleh dilaksanakan dalam bentuk seminar penulisan, bengkel mahupun ceramah secara terus di kalangan pengamal media dan ahli akademik,” katanya.

-Berita Harian-

Permalink |  Trackback

  

 Kategori Minimize

      

 Buletin Jeli Minimize

    

 Buletin Jeli Minimize

    

Hak Cipta Terpelihara © 2006 HeiTech Padu Berhad   Terms Of Use  Privacy Statement