
Sidek menunjukkan akar-akar kayu yang dikeringkan sebelum dijual
SUNGAI RUAL 08 Feb 2010– Hubungan erat masyarakat Orang Asli dengan hutan memang tidak dinafikan dan kerahsiaan serta keistimewaan herba yang dijadikan sebagai ubat-ubatan oleh mereka cukup memberikan kesenangan untuk mengubati pelbagai penyakit.
Bagi suku kaum Jahai dekat sini, tumbuhan hutan yang dijadikan sebagai herba dan ubat-ubatan untuk mereka turut dijadikan sebagai sumber pendapatan sampingan.
Selain bekerja di ladang kelapa sawit berdekatan kawasan penempatan, tumbuhan hutan inilah menampung perbelanjaan hidup mereka sejak dahulu.
Menurut Sidek Belimbing, 50, tumbuhan hutan yang terdapat di hutan jajahan Jeli membantu kehidupan sehariannya.
Katanya, pendapatan diperolehi dianggarkan berjumlah RM 200 bagi setiap jualan tumbuhan yang dijadikan makanan dan herba sudah cukup untuk menampung perbelanjaan harian.
“Hasil-hasil ini kebanyakan dijual kepada pembeli dari luar jajahan, ia kemudiannya diproses untuk dijadikan ubat-ubatan tradisional.
Katanya,pelbagai spesis tumbuhan ini digunakan untuk mencegah dan mengubati pelbagai penyakit samaada untuk bayi, kanak-kanak, wanita mahupun lelaki.
Kata Sidek, kemahiran dan kebolehan dalam menentukan sepsis tumbuhan ini dipelajari dari nenek moyang kami sejak turun temurun dan inilah kelebihan yang kami gunakan untuk menambah pendapatan sedia ada.
“Kemahiran dan kebolehan ini turut diperturunkan kepada anak-anak samaada untuk kegunaan sendiri kerana inilah ‘harta’ yang kami ada,”katanya ketika ditemui, semalam.