ARAB SAUDI 02 MEI 2007 - Universiti Raja Saud (KSU), institusi pengajian tinggi tertua dan terbesar di Arab Saudi, semalam mengumumkan penganugerahan 22 biasiswa untuk pelajar Malaysia bagi melanjutkan pengajian pasca ijazah di universiti berkenaan, berkuat kuasa serta-merta.
Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Mustapa Mohamed, berkata biasiswa KSU itu masing-masing enam untuk program peringkat sarjana dan doktor falsafah (PhD), manakala 10 lagi pengajian kedoktoran bagi lepasan PhD.
Beliau berkata, biasiswa penuh sepanjang pengajian itu ditawarkan termasuk sara hidup bagi membolehkan pelajar mengikuti pelbagai bidang kepakaran di universiti berkenaan antaranya perubatan dan farmasi.
KSU memberi tempoh sebulan kepada kita untuk menghantar senarai nama pelajar terpilih untuk menerima biasiswa ini.
“Penganugerahan biasiswa ini membuktikan keyakinan universiti berkenaan terhadap kemampuan pencapaian dan mutu pendidikan negara,” katanya kepada pemberita Malaysia selepas melawat KSU, di sini, semalam.
Turut menyertai lawatan Mustapa ialah Duta Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Dr Ismail Ibrahim; Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Dr Zulkefli A Hassan; Setiausaha Bahagian Antarabangsa, Naharudin Abdullah; Pengarah Jabatan Pengurusan Pengajian Tinggi, Dr Mohamed Nasser Mohamed Noor; dan Penasihat Undang-Undang Kementerian Pengajian Tinggi, Faridz Gohim Abdullah.
Ketika membuat kunjungan hormat kepada Menteri Pengajian Tinggi Arab Saudi, Dr Khaled Mohammed Al-Anqari, kelmarin, Mustapa berkata, beliau memohon jumlah pelajar tajaan Kerajaan Arab Saudi ke Malaysia menerusi Biasiswa Raja Abdullah, ditingkatkan tahun depan.
Sambil menjelaskan 328 lagi pelajar Arab Saudi akan dihantar ke Malaysia tahun ini menerusi biasiswa berkenaan, selepas ketibaan kumpulan pertama 172 pelajar awal minggu ini, beliau berkata, Kerajaan Arab Saudi menunjukkan minat tinggi untuk menjalin kerjasama dan hubungan rapat dalam semua bidang, khususnya pengajian tinggi.
Sehubungan itu, institusi pengajian tinggi kita diharap mengambil cabaran ini bagi meningkatkan lagi mutu supaya menepati kriteria ditetapkan Kerajaan Arab Saudi. Sebelum menghantar pelajarnya, mereka terlebih dulu meninjau kemampuan universiti kita.
"Kita perlu ambil peluang pengiktirafan kerana Malaysia antara negara Asia yang menerima ramai pelajar Arab Saudi berikutan tertarik dengan kemudahan, pencapaian dan mutu pendidikan kita," katanya.
Selain 172 pelajar baru, beliau berkata, 513 penuntut Arab Saudi kini belajar di Malaysia.
Selain itu, katanya, Kerajaan Arab Saudi melantik pegawai bagi memantau urusan pelajarnya di Malaysia, manakala pihaknya berusaha bagi memastikan mereka dapat belajar dalam keadaan selesa dan tidak menghadapi masalah, serta memperoleh kemudahan sepatutnya.
“Kerjasama ini turut membabitkan pertukaran pensyarah, pelajar dan penyelidikan KSU dengan institusi pengajian Malaysia dan sebaliknya," katanya.