JELI 23 April 2007 - Jumlah penagih dadah di negeri ini menurun hampir 10 peratus daripada 2,516 sepanjang tahun 2005 berbanding 2,243 tahun lepas.
Penolong Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kelantan, Ibrahim Abdul Ghani berkata, penurunan angka itu disebabkan keberkesanan program anjuran AADK negeri ini.
"Kita melakukan pendedahan awal melalui program memerangi dadah bermula daripada sekolah rendah selain institusi pengajian tinggi, di tempat kerja dan seterusnya melibatkan komuniti setempat.
"Ia secara tidak langsung memberi kesedaran kepada orang ramai kesan bahaya dadah dan memastikan mereka tidak terlibat dengan gejala tersebut", katanya ketika ditemui sempena program pencegahan dadah dalam komuniti Daerah Jeli, di sini, kelmarin.
Menurut Ibrahim, AADK negeri ini turut memperkenalkan dua program pada tahun ini yang dilaksanakan sejak Januari lalu.
Katanya, program itu memberi penekanan kepada masyarakat sivil untuk melibatkan semua peringkat dalam masyarakat termasuk pemimpin dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk bersama menggembleng tenaga memerangi dadah.
"Kita juga melancarkan Gerak Gempur Dadah (GEMPADA) dan memberikan penekanan kepada kawasan hitam (berisiko tinggi) di seluruh negeri untuk melaksanakan program memerangi dadah secara berterusan", katanya.
-Sinar Harian-