DARUL FALAH 04 APRIL 2007 – Projek tanaman buah naga yang diusahakan seorang guru, disini, sejak enam bulan lalu mula membuahkan hasil.
Menurut pengusahanya, Mohamad Rafiai, idea untuk menanam pokok buah naga di kawasan seluas 2.4 hektar diilhamkan Ahli Parlimen Jeli, Dato’ Mustapa Mohamed.
“Tujuan membawa tanaman ini masuk ke Jeli memberi peluang kepada petani mengusahakannya secara komersial dan menambahkan pendapatan,” katanya ketika ditemui semalam.
Menurut Mohamad, Lembaga Tembakau Negara (LTN) negeri sedang menyenaraikan nama petani yang bakal mengusahakan projek tanaman tersebut bagi menggantikan tanaman tembakau yang ditanam sejak dulu.
“Setiap petani akan diberi bantuan pinjaman kerana tanaman ini memerlukan modal agak besar iaitu RM 25,000 untuk 0.4 hektar.
“Saya berbangga dapat memperkenalkan tanaman yang agak asing ini kepada seluruh penduduk, khususnya di Jeli,” katanya.
Menurutnya dia turut berkesempatan menghadiri pelbagai kursus serta melawat projek tanaman buah naga terbesar di Melaka, iaitu kira-kira 200 hektar.
-Sinar Harian-