
PUTRAJAYA 23 Mac 2007: Kementerian Pengajian Tinggi yakin kaedah permohonan bagi kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) menerusi aplikasi talian yang terbukti lebih cekap akan digunakan seratus peratus mulai tahun depan.
Menterinya, Dato' Mustapa Mohamed berkata, lebih 75 peratus permohonan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi kemasukan ke IPTA untuk sesi akademik 2007/2008 yang diterima sehingga kini menggunakan aplikasi talian itu.
Katanya, sehingga semalam 101,806 permohonan diterima menerusi aplikasi talian, manaklaa 20,000 permohonan lagi dijangka dihantar secara manual berdasarkan penjualan borang sejumlah 38,000 diseluruh negara.
"Bagi lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan setaraf pula, semual calon sudah menggunakan kaedah permohonan aplikasi menerusi talian sejak empat tahun lalu dan sehingga semalam sejumlah 76,951 permohonan diterima," katanya kepada pemberita selepas meninjau pusat operasi Bahagian Pengurusan Kemsaukan Pelajar IPT, Kementerian Pengajian Tinggi di sini, semalam.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar IPT, Rahmah Hussain, berkata semua calon SPM yang memohon kemasukan ke IPTA boleh menyemak keputusan permohonan mereka pada minggu kedua Mei ini, manakala lepasan STPM pada minggu keempat Jun ini.
Beliau berkata, permohonan kemasukan ke IPTA untuk sesi akademik 2007/2008 bagi Program Pengajian Lepasan SPM atau setaraf ditutup hari ini (23 Mac) manakala Program Pengajian Lepasan STPM atau setaraf pada 28 Mac ini.
"Dasar pengambilan dan pemilihan kemasukan ke IPTA adalah berasaskan prinsip meritokrasi dengan penggunaan 90 peratus pencapaian markah akademik dan 10 peratus markah kokurikulum.
"Mulai sesi akademik 2007/2008 pengesahan pembabitan dan penilaian markah 10 peratus bagi aktiviti kokurikulum akan diselaras Kementerian Pelajaran.
"Markah itu kemudian akan dipadankan dengan keputusan SPM, STPM atau Matrikulasi yang diterima daripada Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM), Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) dan Bahagian Matrikulasi Kementerian Pelajaran untuk penyediaan markah merit yang akan digunakan bagi pemilihan kemasukan ke IPTA," katanya.
Rahmah berkata, semua maklumat untuk menghadiri ujian dan temuduga hanya akan disiarkan melalui laman web dan pemohon perlu merujuk ke laman web di alamat www.mohe.gov.my bagi mengetahui status masing-masing.
Pemohon juga boleh menghubungi Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar, Jabatan Pengurusan IPT kementerian di talian 03-88835801/5802, talian Helpline 03-88835848 atau Hotline 03-88835858.
-Berita Harian-