KOTA BHARU 18 MAC 2007 - Kerajaan memberi jaminan lebih 4,000 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2006 yang mendapat A dalam semua mata pelajaran, akan mendapat tempat di institusi pengajian tinggi tempatan atau luar negara.
Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Mustapa Mohamed, berkata pihaknya yakin pelajar cemerlang itu akan ditawarkan mengikuti pelbagai kursus di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) manakala sebahagian mereka berpeluang ke luar negara.
Bagaimanapun katanya, hanya pelajar cemerlang dengan Purata Mata Gred Terkumpul (CGPA) 3.9 atau 4 serta aktif dalam kokurikulum yang merangkumi 10 peratus pemarkahan, layak diberi pertimbangan memasuki bidang perubatan.
Beliau berkata, semua IPTA dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) di negara ini hanya menyediakan kira-kira 2,000 tempat bagi kursus perubatan, menyebabkan persaingannya sengit.
“Kita yakin lebih 4,000 pelajar cemerlang yang dapat semua A dalam SPM 2006 mendapat tempat di IPTA tetapi untuk jurusan perubatan, tempatnya terhad dan hanya yang cemerlang serta aktif kokurikulum berpeluang,” katanya ketika ditemui pada perlawanan bowling anjuran Pergerakan Pemuda Umno Jeli di sini, semalam.
Sebelum ini, pelbagai pihak melahirkan kebimbangan ramai pelajar termasuk yang cemerlang dalam SPM 2006 mungkin tidak berpeluang ke IPTA kerana tempat yang terhad, khususnya dalam jurusan kritikal seperti perubatan.
Mustapha yang mengakui saingan untuk memasuki IPTA tahun ini sengit berkata, ia berlaku berikutan ramai mencatatkan keputusan cemerlang dan mereka yang mencatat CGPA sekurang-kurangnya 3.5, layak memohon melanjutkan pengajian ke luar negara.
Beliau berkata, setakat ini Unit Pusat Universiti (UPU) sudah menerima 80,792 permohonan secara dalam talian daripada lulusan SPM dan 54,695 daripada lulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) untuk memasuki IPTA.
Tahun ini, kita jangka sejumlah 80 peratus permohonan memasuki IPTA membabitkan lulusan SPM dibuat secara dalam talian, manakala permohonan STPM dan Matrikulasi dibuat sepenuhnya dalam talian.
“Kebanyakan lulusan SPM memohon memasuki pengajian peringkat diploma dan prapersediaan di IPTA yang menyediakan kira-kira 50,000 tempat tahun ini, termasuk untuk lulusan STPM dan Matrikulasi,” katanya.
Mengenai rungutan beberapa pihak yang mendakwa sukar mengakses laman web UPU Mustapha berkata, empat pelayan komputer tambahan akan beroperasi sepenuhnya mengendalikan permohonan secara dalam talian mulai hari ini.
Kita jangka tiada masalah tahun ini kecuali kesesakan yang berlaku pada hari pertama 14 Mac lalu menyebabkan satu daripada dua pelayan yang beroperasi rosak tetapi ia sudah dibaiki dan tambahan pelayan dibuat serta-merta.
“Setakat ini, tarikh tutup untuk semua permohonan ke IPTA yang dibuat kepada UPU itu ditetapkan masing-masing pada 23 Mac bagi lulusan SPM dan STPM tetapi kita sedia lanjutkan jika masalah pengendalian komputer berulang,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Mustapha berkata, beliau juga sudah mengadakan pertemuan dengan semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan penaja biasiswa pelajar ke luar negara, kelmarin.
Katanya, dalam pertemuan itu, beliau menyampaikan arahan kerajaan yang mahu GLC dan penaja terbabit menambah bilangan pelajar tajaan masing-masing untuk kursus pasca siswazah.
Kita juga minta pelajar Matrikulasi diberi pertimbangan tajaan untuk melanjutkan pengajian ke luar negara, di samping GLC turut menaja pelajar cemerlang ke IPTA dalam negara.
“Ketika ini, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedang memuktamadkan senarai universiti terkemuka dunia untuk penghantaran pelajar tajaan itu kerana yang dihantar adalah mereka yang cemerlang,” katanya.
-Berita Harian-