KUALA LUMPUR 18 MAC 2007 - Kementerian Pengajian Tinggi akan bekerjasama dengan Pelancongan Malaysia bagi mempromosikan pakej program pelancongan pendidikan yang bertujuan memperkenalkan negara sebagai pusat kecemerlangan pendidikan di rantau ini.
Menterinya, Dato’ Mustapa Mohamed, berkata pelancongan pendidikan atau ‘edu-tourism’ mempunyai potensi besar untuk dimajukan dengan menarik lebih ramai pelancong dan pelajar meneroka peluang pengajian yang ada di negara ini.
“Kita akan bincang dengan Pelancongan Malaysia bagaimana kita boleh promosi pakej pelancongan pendidikan ini dan pelancong yang datang akan melihat peluang pendidikan di negara ini dengan menyertai program pendidikan jangka pendek,” katanya kepada media selepas merasmikan ‘Facon Education Fair Incorporating Postgraduate 2007’ di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, semalam.
Pameran pendidikan dua hari itu yang bermula semalam disertai 400 institusi pendidikan awam dan swasta dari dalam dan luar negara.
Mustapa berkata, Malaysia kini menjadi tumpuan pelajar luar untuk belajar Bahasa Inggeris dan melalui pelancongan pendidikan yang menawarkan program pembelajaran bahasa itu, diharap dapat menarik lebih ramai pelajar ke negara ini.
“Pelancongan pendidikan juga boleh digunakan untuk menarik ibu bapa yang datang ke negara ini bagi mengintai peluang pendidikan di institusi tempatan di sini untuk anak mereka,” katanya.
Beliau juga mengucap terima kasih kepada pihak swasta seperti Facon kerana membantu kerajaan dalam usaha menyebarkan peluang pendidikan di negara ini.
“Kerajaan juga ada menyediakan pameran seperti ini, tetapi tanpa sokongan daripada pihak swasta, usaha kerajaan tidak berjaya,” katanya.
Sebelum itu, Pengerusi Pameran Facon Sdn Bhd, Tan Sri Dr Yahaya Ibrahim, berkata menerusi penganjuran pameran pendidikan itu, golongan sasaran seperti lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) boleh membuat penilaian mengenai bidang pengajian yang ingin diikuti.
Pameran pendidikan ini juga akan diadakan di Holiday Villa, Alor Star pada 5 Mac ini; Traders Hotel, Pulau Pinang (21 Mac); Hotel Syuen, Ipoh (22 Mac); Hotel Equatorial, Melaka (23 Mac) dan Hotel Puteri Pacific, Johor Bahru (25 Mac).
-Berita Harian-