KUANTAN 10 Mac 2007 - Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menganjurkan Karnival Sukan Institiut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) peringkat kebangsaan buat julung kalinya bermula hari ini sehingga 11 Mac, di Stadium Tertutup Sukpa, Bandar Indera Mahkota, di sini.
Karnival tiga hari itu dijangka dirasmikan Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Mustapa Mohamed dan disertai 20 kontinjen merangkumi 70 peserta membabitkan pelajar IPTS seluruh negara.
Peserta setiap kontinjen akan mengambil bahagian dalam acara yang dipertandingkan seperti futsal, bola tampar lelaki, bola tampar perempuan, bola jaring dan bowling.
Bagi merealisasikan kejayaan Karnival Sukan IPTS 2007, Kolej Shahputra mendapat kepercayaan bertindak selaku urus setia karnival berkenaan sepanjang acara berlangsung.
Jurucakap penganjur dalam satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan, di sini, semalam berharap pelbagai pihak memberi sokongan bagi mencapai objektif karnival serta tanda sokongan pemilihan bandar Kuantan selaku tuan rumah bagi temasya sukan IPTS kali ini.
-Berita Harian-