KUANTAN 10 Mac 2007 - Kementerian Pengajian Tinggi mahu menubuhkan satu unit sukan di peringkat kementerian tidak lama lagi dalam usaha memperkasakan aktiviti sukan, sekali gus mencungkil bakat di kalangan pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA/S) untuk diketengahkan di pentas antarabangsa.
Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Mustapa Mohamed berkata, kementerian sedang berunding dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi proses pengambilan pegawai yang akan ditugaskan dalam unit sukan di kementerian terbabit yang akan diumumkan secara terperinci sedikit masa lagi.
Kami rasa perlu satu bahagian khusus mengendalikan kegiatan sukan di kementerian untuk membolehkan kami mencungkil bakat sukan di peringkat IPTA/S ini. Sekarang kami cuma ada dua pegawai di Unit Hal Ehwal Pelajar yang mengendalikan sukan.
"Jumlah itu tidak mencukupi untuk memastikan kegiatan sukan di IPTA/S dapat diperkasakan. Kami mahu mempercepatkan penubuhan unit itu," katanya selepas merasmikan Karnival Sukan IPTS anjuran Kementerian Pengajian Tinggi dengan kerjasama Kolej Shahputra, di Dewan Tertutup Sukpa, Kuantan semalam.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Perpaduan negeri, Datuk Ahmad Shukri Ismail; Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Pengurusan IPTS) Kementerian Pengajian Tinggi, Prof Dr Mahani Zainal Abidin, dan Pengerusi Kolej Shahputra, Datuk Dr Azman Zaini Abdul Ghanie.
Seramai 593 atlit dan 60 pegawai mewakili kontinjen dari 15 IPTS menyertai karnival sukan selama tiga hari itu. Empat acara sukan dipertandingkan pada karnival berkenaan iaitu tenpin bowling, bola tampar, futsal dan bola jaring.
Antara IPTS yang turut serta ialah Universiti Teknologi Petronas (UTP), Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Kolej Antarabangsa Nilai, Kolej Yayasan Melaka, Kolej Universiti Help, Kolej Teknologi Bestari, Universiti Kuala Lumpur dan Kolej SAL.
Mustapa berkata, kementeriannya membelanjakan RM33 juta bagi menggerakkan program dan acara sukan di seluruh IPTA/S, manakala RM3 juta lagi untuk program biasiswa sukan.
Kami bekerjasama rapat dengan Kementerian Belia dan Sukan bagi menyemarakkan aktiviti sukan di peringkat pusat pengajian tinggi dan menerusi satu jawatankuasa bersama, kami sudah mewujudkan anugerah untuk atlit yang mencapai kecemerlangan di peringkat antarabangsa.
-Berita Harian-