SHAH ALAM 05 Mac – Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin hari ini dimasyhurkan sebagai Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang ketiga.
Perlantikan Seri Paduka adalah mengikut Seksyen 19A (2) Akta UiTM yang menyebut Yang di-Pertuan Agong secara langsung akan dilantik sebagai Canselor UiTM sepanjang tempoh pemerintahannya.
Pemasyhuran yang turut dihadiri oleh Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah itu disempurnakan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Mustapa Mohamed dalam satu majlis penuh istiadat yang dimulakan dengan pemeriksaan lintas hormat dan perbarisan pasukan beruniform.
Pada majlis yang sama, Naib Canselor UiTM, Datuk Seri Prof. Dr. Ibrahim Abu Shah turut memberi taklimat ringkas berhubung struktur organisasi UiTM serta pencapaian-pencapaian yang telah diraih sepanjang tempoh 50 tahun ditubuhkan.
Turut hadir Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo.
Sementara itu, Tuanku Mizan dalam titah ucapan pemasyhuran baginda melahirkan rasa amat bersyukur diberi peluang menabur bakti kepada sebuah Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang mempunyai sejarah perjuangan yang cukup panjang.
Titah Seri Paduka, perjuangan dan peranan yang telah dan sedang dilaksanakan oleh UiTM dalam melakukan transformasi amat menakjubkan.
Tuanku Mizan turut melahirkan rasa bangga atas keupayaan pusat pengajian tinggi itu melahirkan modal insan bumiputera yang berkualiti dan cemerlang.
Beta sentiasa berpegang kepada kepercayaan yang jika sesuatu bangsa ingin mengubah atau berhadapan cabaran dan mengatasi cabaran dengan jayanya, maka aset yang paling penting adalah sumber manusia yang berilmu pengetahuan.
“Menyedari itu, beta yakin UiTM kini menjadi peneraju utama sumber modal insan bumiputera yang menjadi momentum kepada perubahan taraf sosial dan ekonomi Malaysia,” titah Seri Paduka.
Bagaimanapun, Tuanku Mizan mengingatkan, dalam bersyukur dengan kejayaan lampau, masyarakat akan terus menuntut dan berharap agar UiTM terus berusaha untuk kekal sebagai sebuah institusi utama yang menjaga kepentingan bumiputera.
“Kekuatan dan keunggulan universiti hanya akan terserlah jika universiti itu bersifat dinamik dan benarlah kata orang, kematangan akan datang seiring dengan usia tetapi beta lebih suka melihat agar kita tidak menunggu terlalu lama untuk menjadi sebuah universiti yang matang,” titah Seri Paduka.
-Utusan-