Carian  
06 Januari 2009 ..:: e-Buletin ::..   Daftar Masuk
 Pelajar Wajib Guna Permohonan Dalam Talian ke IPTA 2008 Minimize
Location: BlogsBuletin JeliBerita Parlimen Jeli    
Posted by: umnojeli_admin 05 Mac 2007

KEPALA BATAS 04 Mac 2007 – Semua lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang ingin melanjutkan pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) akan diwajibkan membuat permohonan melalui aplikasi secara dalam talian mulai sessi 2008/2009.

   Mulai sesi tersebut, pelajar lepasan SPM tidak lagi dibenarkan membuat permohonan melalui kaedah manual atau borang kertas seperti yang diamalkan sekarang.

   Menteri Pengajian Tinggi,  Dato’ Mustapa Mohamed berkata, keputusan itu selaras dengan hasrat kerajaan untuk mengaplikasikan sepenuhnya kaedah elektronik bagi pengambilan pelajar baru ke IPTA.

   Pada masa ini, katanya, kaedah aplikasi dalam talian hanya diwajibkan bagi lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan lepasan matrikulasi yang ingin melanjutkan pelajaran ke IPTA.

   “Bagi pengambilan sesi tahun 2006/2007 sahaja, 45,000 lepasan SPM menggunakan aplikasi secara dalam talian iaitu peningkatan kira-kira 80 peratus berbanding pengambilan sebelumnya.

   “Kini kementerian mengambil keputusan untuk menggunakan kaedah ini sepenuhnya bagi sessi tahun 2008/2009,” kata Mustapa kepada pemberita selepas melancarkan Program Pendidikan Kementerian Pengajian Tinggi Bersama Rakyat 2007 di sini hari ini.

   Mustapa berkata, melalui aplikasi secara dalam talian, pemohon hanya perlu mengemukakan satu permohonan dan berpeluang mengemaskinikannya sebanyak tiga kali  dalam tempoh 10 hari selepas keputusan peperiksaan SPM diumumkan.

   Katanya, kaedah tersebut akan dapat mengelakkan sebarang masalah dan kesesakan capaian pada saat-saat akhir.

   Ia berbeza dengan kaedah lama yang tidak membolehkan pemohon membuat perubahan selepas menghantar borang permohonan.

   “Kita harap dengan pelaksanaan kaedah ini, para pemohon akan mempunyai ruang untuk membuat keputusan terbaik mengenai kursus-kursus yang mereka mohon,” jelasnya.

   Beliau berkata, Kementerian Pengajian Tinggi juga telah membuat perancangan rapi bagi melaksanakan sepenuhnya konsep tersebut dengan mengambil kira keupayaan pelayan berkapasiti tinggi serta Infrastruktur Teknologi Maklumat (ICT).

   Para pemohon yang mempunyai sebarang masalah dalam membuat permohonan melalui aplikasi secara dalam talian boleh menghubungi talian 03-8883 5848 atau melayari laman web http://www.mohe.gov.my.

-Utusan-

 

Permalink |  Trackback

  

 Kategori Minimize

      

 Buletin Jeli Minimize

    

 Buletin Jeli Minimize

    

Hak Cipta Terpelihara © 2006 HeiTech Padu Berhad   Terms Of Use  Privacy Statement