KEPALA BATAS 04 Mac 2007 - Mulai tahun depan, lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memohon memasuki Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) diwajibkan mengisi borang kemasukan menerusi aplikasi dalam talian sepenuhnya.
Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Mustapa Mohamed, berkata keputusan itu dibuat selepas kementerian mendapati aplikasi diperkenalkan tahun lalu diterima baik oleh pelajar.
“Mulai tahun depan, kementerian tidak lagi mengeluarkan borang permohonan, termasuk bagi permohonan lulusan SPM,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Pendidikan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Bersama Rakyat 2007, di sini, semalam.
Lebih 10,000 orang terutama pelajar, guru dan ibu bapa dari Wilayah Utara Semenanjung mengunjungi program dua hari yang berakhir semalam.
Setakat ini, permohonan dalam talian hanya diwajibkan untuk lulusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Matrikulasi, manakala lulusan SPM boleh memilih antara kaedah manual (borang) atau talian.
Sehingga kelmarin, kementerian menerima 86,812 permohonan memasuki IPTA menerusi aplikasi dalam talian membabitkan 41,812 permohonan bagi program pengajian lepasan STPM atau setaraf dan 45,000 program pengajian lepasan SPM dan setaraf.
Mustapa berkata, pihaknya yakin peratusan pemohon lepasan SPM 2006 yang menggunakan aplikasi berkenaan akan meningkat daripada 56.4 peratus pada sessi akademik 2006/2007 kepada 80 peratus bagi sessi akademik 2007/2008.
Sementara itu, Mustapa berkata, mulai sessi akademik 2007/2008, kaedah pengiraan dan penilaian markah kokurikulum 10 peratus akan diselaraskan sepenuhnya oleh Kementerian Pelajaran.
Katanya, markah berkenaan akan dipadankan dengan markah akademik dibekalkan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) atau Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) atau Bahagian Matrikulasi Kementerian Pelajaran.
“Ia untuk pengiraan markah merit yang akan digunakan untuk pemilihan kemasukan ke IPTA. Kali ini, pengiraan markah kokurikulum bukan disediakan pelajar lagi,” katanya.
Mengenai tajaan biasiswa kerajaan untuk penuntut luar negara, beliau berkata, sebanyak 1,800 biasiswa yang ditawarkan kerajaan mulai tahun ini hanya membabitkan kemasukan ke universiti luar negara yang terkemuka saja.
Beliau berkata, tajaan itu tidak termasuk biasiswa ditawarkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang juga melaksanakan program penghantaran pelajar ke universiti terkemuka.
“Jumlah tajaan tahun ini meningkat 300 orang berbanding 1,500 pelajar tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan juga memutuskan untuk tidak menghantar pelajar ke Crimea State Medical University (CSMU) di Ukraine kerana ijazah daripada universiti berkenaan tidak lagi diiktiraf.
-Berita Harian-