JELI 12 Feb 2007 - Universiti Teknologi Mara (UiTM) diberi tanggungjawab menjayakan usaha meningkatkan pencapaian akademik bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris di kalangan pelajar luar bandar Kelantan.
Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Mustapa Mohamed, berkata usaha itu sudah bermula di beberapa sekolah pedalaman dengan kerjasama UiTM Kampus Cawangan Machang, hampir setahun lalu.
Beliau berkata, pensyarah dan pelajar UiTM terbabit berganding bahu memberi motivasi pengajaran serta pembelajaran bahasa Inggeris menerusi program turun ke padang itu.
Menerusi program yang dilaksanakan setakat ini, kita lihat ada peningkatan dan pencapaian memberangsangkan bukan hanya dalam bahasa Inggeris, malah menolong pencapaian mata pelajaran Sains dan Matematik yang turut diajar dalam bahasa Inggeris.
"Kita berasa bangga dengan pembabitan pensyarah dan pelajar UiTM menerusi program itu yang bermatlamat untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar luar bandar," katanya.
Beliau memberitahu demikian selepas merasmikan program kem kesihatan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di Kampong Kalai, dekat sini, semalam.
Seramai 70 kakitangan HUSM termasuk doktor pakar, pegawai perubatan dan jururawat terbabit dalam memberi perkhidmatan secara percuma itu.
Mustapa berkata, Kementerian Pengajian Tinggi mahu projek khidmat masyarakat institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang dijalankan di kawasan luar bandar turut memperhebatkan program motivasi Bahasa Inggeris.
Katanya, selain mengatur kegiatan sukan dan gotong royong membersih kubur serta masjid, program motivasi itu boleh dimasukkan sebagai program utama.
"Saya tidak nafikan kebanyakan IPTA sudah memasukkan program itu dalam projek khidmat masyarakat mereka setiap tahun tetapi perlu diperhebatkan lagi," katanya.
Beliau berkata, kemerosotan pelajar IPTA menguasai bahasa Inggeris kerana mereka kurang pendedahan pada peringkat awal terutama dikalangan pelajar dari kawasan luar bandar.
-Berita Harian-