KEPALA BATAS 09 Feb 2007 - Penjenaamaan semula Kolej Komuniti oleh Perdana Menteri, Datuk Sri Abdullah Ahmad Badawi di Kepala Batas, Jumaat lalu adalah penyempurnaan terhadap pendemokrasian pendidikan negarai.
Menerusi penjenamaan semula itu, Kolej Komuniti diperkasakan melalui lima ciri utama, sekali gus menyediakan peluang menyambung pelajaran khususnya kepada semua lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang kurang cemerlang akademik.
Melalui penjenamaan semula itu kerajaan meningkatkan jumlah pengambilan pelajar memasuki kolej itu kepada 240,000 pelajar menjelang 2010 dengan pembinaan 25 lagi kolej baru dan 20 cawangan berbanding 120,000 pelajar dan 35 kolej sedia ada.
Ini bermakna hampir semua lepasan SPM yang tidak dapat peluang menyambung pengajian selama ini kerana memperoleh keputusan lemah, berpeluang melanjutkan pelajaran seperti pelajar lain.
Sebelum pembinaan Kolej Komuniti lima tahun lalu, lepasan SPM yang lemah dipinggirkan. Mereka tercicir daripada melanjutkan pelajaran.
Oleh itu mereka sama ada memasuki pasaran kerjaya sebagai pekerja tidak mahir, bekerja sendiri atau tidak membuat apa-apa. Golongan ketiga ini mendatangkan masalah. Sesetengahnya terbabit dalam pelbagai gejala sosial yang membawa kesan hingga memusnahkan masa depan mereka.
Sedangkan golongan yang berpeluang menyambung pelajaran tidak ramai, iaitu kurang daripada 50 peratus daripada keseluruhan calon SPM setiap tahun kerana jumlah tempat seperti tingkatan enam, matrikulasi dan diploma adalah terhad walaupun ditingkatkan dari setahun ke setahun.
Oleh itu setiap tahun sekitar 200,000 calon terpinggir daripada menyambungkan pelajaran. Sedangkan mereka masih berada dalam usia yang sangat muda untuk bekerja.
Kita percaya tempoh lima tahun penubuhan itu dijadikan tahap percubaan oleh kerajaan dan apabila ternyata keberkesanannya, keputusan dibuat supaya Kolej Komuniti diperkasakan lagi.
Seperti diumumkan pada majlis itu, ternyata Kolej Komuniti bukan sekadar mengalami perubahan kosmetik, tetapi perubahan struktur yang menjelmakannya sebagai institusi pendidikan tinggi yang berprestij dan menarik.
Peringkat kursus tidak lagi terhad kepada tahap sijil tetapi diwujudkan hingga ke peringkat diploma dan seterusnya pelajar yang berpotensi boleh menyambung pelajaran hingga ke peringkat ijazah.
Lepasan Kolej Komuniti juga lebih terjamin untuk mendapat pekerjaan, selain bekerja sendiri, kerana diwujudkan Unit Promosi dan Pemasaran dan jalinan kerjasama yang mantap dengan sektor swasta dalam penggubalan kurikulum kursus bagi menepati keperluan sektor industri. Kedua-dua ciri ini menjadikan lulusan Kolej Komuniti seolah-olah sudah terjamin untuk mendapat pekerjaan.
Kita percaya satu lagi ciri penjenamaan semula yang akan menjadikan Kolej Komuniti lebih menarik ialah pemberian elaun RM250 sebulan bagi setiap pelajar. Untuk tujuan itu, menurut Perdana Menteri kerajaan memperuntukkan RM529 juta setahun.
Sudah tentu pengumuman itu dicemburui oleh pelajar IPT lain kerana mereka tidak menikmati pemberian elaun sebaliknya memperoleh bantuan kewangan melalui PTPTN yang syaratnya terpaksa dibayar balik selepas tamat pengajian.
Seorang pensyarah di IPTA memberitahu penulis, bahawa pemberian elaun itu akan menjadikan Kolej Komuniti lebih menarik di kalangan lepasan SPM.
Katanya, beliau menjangkakan untuk kemasukan sesi 2007 ini, permohonan memasuki Kolej Komuniti akan berganda berbanding sebelumnya.
Selain menawarkan peluang kepada pelajar yang selama ini dikategorikan sebagai tercicir, Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Mustapa Mohamed pada majlis yang sama menegaskan untuk merealisasikan usaha menjadikan kolej itu sebagai hub pembelajaran sepanjang hayat dalam sistem pendidikan negara.
Komuniti atau anggota masyarakat setempat seharusnya diberi peluang untuk terbabit sama dalam mendapat latihan dan menggunakan kemudahan yang terdapat di sesebuah kolej.
Konsep ini dilaksanakan secara meluas di beberapa negara maju khususnya Eropah.
Oleh yang demikian, kita percaya ia akan mendapat sambutan memberangsangkan jika dilaksanakan di negara ini.
-Berita Harian-