SERDANG 09 FEB 2007 - Pasukan debat Universiti Teknologi Mara (UiTM) menjuarai Pertandingan Debat Perdana Integriti 2007 antara institusi pengajian tinggi di Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang, kelmarin.
Dengan kemenangan itu, UiTM yang diwakili Shahrul Nizam Ahmad, Muhammad Nizamuddin Abd Hamid, Mohamad Khairulnizam Bakeri dan Mohd Zhafrie Johari membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000, piala pusingan dan sijil penghargaan.
Naib johan pertandingan bertema Kebejatan Sosial di Negara Ketiga-Integriti anjuran Institut Integriti Malaysia (IIM) dimenangi pasukan Universiti Malaya (UM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (ketiga) dan UPM (keempat).
Pemenang masing-masing membawa pulang wang tunai RM3,000, RM2,000 dan RM1,000 selain piala dan sijil penghargaan. Hadiah disampaikan Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Mustapa Mohamed.
Hadir sama, Naib Canselor UPM, Prof Datuk Dr Nik Mustapha Raja Abdullah; Presiden IIM, Datuk Dr Mohd Tap Salleh dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPM, Prof Madya Dr Azali Mohamed.
Muhammad Nizamuddin dipilih sebagai pendebat terbaik.
Sementara itu, Mustapa dalam ucapannya berkata, program berkenaan dapat menambah kefahaman peserta mengenai usaha mengukuhkan integriti negara. Ia juga mengasah bakat sedia ada di kalangan pelajar yang bakal menjadi pemimpin.
Katanya, pertandingan debat adalah pendekatan terbaik meningkatkan daya fikir dan kebolehan berucap di khalayak ramai di kalangan pelajar.
Pertandingan kali ini disertai 19 institusi pengajian tinggi dengan 27 pasukan membabitkan 106 pendebat.
Muhammad Nizamudin yang juga Timbalan Presiden Kelab Debat dan Pidato UiTM, berkata mereka mengadakan latihan sekurang-kurangnya dua kali seminggu.
-Berita Harian-