
Sebahagian ahli-ahli koperasi yang hadir tekun mendengar ucapan
BUKIT BUNGA 24 JUN 2009 – Koperasi Pekebun Kecil Getah Jajahan Tanah Merah dan Jeli Berhad (KOPKEJAT) sedang mengintai pelbagai peluang bagi membolehkan koperasi berkenaan menjana pendapatan lebih lumayan kepada ahli-ahlinya.
Pengerusi Anggota Lembaganya, Mohd Adhan Kechik berkata, peluang tersebut di lihat mampu memberi kebaikan kepada semua ahl-ahli koperasi berjumlah 8, 446 orang.
Menurutnya, kebiasaannya KOPKEJAT banyak memberikan tumpuan dalam soal pertanian samada dalam pemasaran getah dan sebagainya.
“Kita akan cuba keluar dari kepompong itu dan menceburi pelbagai bidang seperti perladangan yang mampu membawa keuntungan kepada KOPKEJAT dan ahli-ahlinya bagi memperkasakan lagi ekonomi sedia ada.
“Saya yakin, sekiranya peluang dan ruang ini di perolehi ianya akan menggalakkan lagi perkembangan KOPKEJAT secara meluas,”katanya ketika berucap pada majlis mesyuarat agung kali ke -14 KOPKEJAT di dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Bunga, semalam.
Lebih 200 ahli hadir sempena mesyuarat berkenaan yang di rasmikan oleh Wahid Mohd Noor, Ketua Sektor Kawal Selia dan Operasi, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
Beliau berkata, KOPKEJAT kini telah membeli empat buah rumah kedai di Bandar Tanah Merah dengan harga RM 2.68 juta bagi menambahkan pendapatan koperasi.
“Bangunan ini bukan sahaja akan menjadi lambang kekuatan koperasi tetapi kekuatan ahli-ahlinya yang berkomitmen tinggi membawa halatuju koperasi supaya berada di tahap terbaik.
Katanya, kejayaan koperasi yang menjadi johan peringkat NARSCO empat tahun berturut-turut membuktikan bahawa koperasi ini mantap dan usaha untuk menggerakkan koperasi ini berada di landasan terbaik akan terus dicanang sebaik mungkin.
Pada majlis tersebut, KOPKEJAT turut menyampaikan bantuan zakat kepada pelajar-pelajar yatim piatu sekolah berkenaan.
-Sinar Harian-