
Suasana R & R Kuala Balah
KUALA BALAH 10 JUN 2009 – Pembukaan Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR ) dekat sini baru-baru ini mula memberi nafas baru kepada kawasan berkenaan.
Ketua Penyelia Pembangunan Mukim (KPPM), Kuala Balah, Rozi Muhamad berkata, sejak pembukaannya ianya cukup mengembirakan dan menandakan wujudnya pembangunan di parlimen ini.
Katanya, kawasan Kuala Balah dahulunya dikenali sebagai kawasan yang terpencil dan sejak YB.Dato’ Mustapa Mohamed menjadi Ahli Parlimen Jeli, perubahan demi perubahan dapat disaksikan oleh masyarakat.
Projek pelebaran jalan Jeli-Dabong-Gua Musang juga memberi nilai tambah kepada pekembangan kawasan Kuala Balah.
“Pembukaan R & R di kawasan ini akan membantu meningkatkan taraf sosio ekonomi penduduk secara tidak langsung seterusnya memberi ruang dan kelegaan kepada pengguna untuk berhenti rehat,”katanya.
Beliau berkata, suasana malam di kawasan tersebut turut hidup selepas pembukaannya dan perkara ini cukup bermakna kepada penduduk di sini.
Katanya, walaupun hanya beberapa buah kedai sahaja ianya satu mukadimmah kepada perkembangan yang lebih baik.
.
“Saya yakin perkara ini satu perkembangan baik di kawasan ini dan suatu hari nanti landskap di kawasan ini akan berubah,”tambah beliau.