JELI 05 Feb 2007 - Kejadian pelatih bolos dan melarikan diri daripada Pusat Serenti Jeli di sini, menjadi isu berpanjangan dan menimbulkan ketakutan penduduk sekitarnya sejak operasinya bermula 1987.
Ini kerana pelatih terutama penagih tegar enggan terima hakikat penempatan di pusat itu boleh membantu mereka memulihkan diri daripada penagihan dadah. Dengan tanggapan itu mereka sentiasa berusaha untuk melarikan diri.
Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintendan Muhamad Hanifah Ab Malek, berkata sepanjang 2004, 51 kes membabitkan 103 pelatih melarikan diri daripada pusat itu.
Sepanjang 2005, 41 kes dilaporkan dengan 112 pelatih melarikan diri dan 49 daripadanya berjaya ditahan semula. Bagaimanapun, tahun lalu, kes pelarian menurun dengan mendadak apabila hanya membabitkan enam kes saja.
"Kita percaya jumlah pelatih lari daripada pusat itu akan terus berkurangan apabila faktor keselamatan terutama pagar dua lapis yang kini dipasang mengelilingi sebahagian besar pusat itu," katanya.
Beliau berkata, pagar besi yang dipasang itu kini menyukarkan pelatih yang mahu melarikan diri berpaut kerana ruang antara bilah besi tidak boleh dimasukkan jari lagi.
Pagar dikenali sebagai Anti-Climb itu bernilai RM1.2 juta dibina bercirikan keselamatan yang diiktiraf polis kerana kerana sukar dipanjat oleh mana-mana pihak.
Ketebalan pagar besi menyebabkan ia sukar dipotong di samping pengawasan ditingkatkan dengan penempatan 40 pengawal keselamatan memantaunya sepanjang masa.
Tinjauan Berita Harian mendapati pagar Anti-Climb itu meliputi hampir tujuh asrama menempatkan 200 penghuni serta dewan makan dan bilik aktiviti pelatih di situ.
Komandan Pusat Serenti Jeli, Suhaini Ismail, berkata pagar besi yang tidak mampu dipotong dengan mudah itu adalah satu-satunya pagar yang dibina Agensi Dadah Kebangsaan (ADK) di negeri ini.
Beliau berkata, walaupun pagar dua lapis itu hanya meliputi kawasan seluas 15 hektar tetapi ia memberi tumpuan kepada kawasan tumpuan semua pelatih pusat itu berada sepanjang masa.
Pembinaan pagar ini siap sepenuhnya pada Jun 2005, menggantikan sebahagian pagar lama yang selama ini sering bolos kerana dawai itu mudah dipotong pelatih ketika melarikan diri.
"Pagar baru ini lebih kukuh dan sesuai untuk memastikan keselamatan Pusat Serenti Jeli yang menempatkan pelatih lelaki. Sejak siapnya pagar ini, kejadian bolos sudah berjaya diatasi," katanya.
Bagi penduduk sekitar kawasan pusat itu, pembinaan pagar itu meredakan kebimbangan hidup mereka selama ini kerana kejadian pelatih bolos sering boleh mencetuskan jenayah di kawasan mereka.
Ini kerana, pelatih yang bolos sering mencuri pakaian serta kenderaan milik penduduk tempatan dalam usaha mengelak ditangkap semula ketika melarikan diri ke destinasi tertentu.
Penduduk, Haron Chik, 87, yang tinggal di Kampung Kuala Long, terletak belakang Pusat Serenti Jeli itu sejak 1960, berkata penduduk mula berdepan masalah pelatih pusat bolos sejak ia dibuka pada 1987.
Sebelum ada pagar baru itu, banyak pelatih yang lari diri menerusi kampung kami dan mereka menimbulkan kebimbangan kerana dalam keadaan terdesak, mereka boleh bertindak ganas.
"Namun, sejak pagar besi baru itu bina, ancaman pelatih yang melarikan diri hampir tiada lagi," katanya.
Suri rumah, Siti Johar Haron, 51, berkata selama ini, beliau sering ketakutan setiap kali melihat pelatih pusat itu melarikan diri secara cara memanjat pagar yang terletak berhampiran rumahnya.
"Kami lega Kerajaan Pusat membina pagar baru yang lebih selamat untuk memastikan lokasi pusat serenti ini tidak membahayakan penduduk setempat," katanya.
-Berita Harian-