Carian  
06 Januari 2009 ..:: e-Buletin ::..   Daftar Masuk
 Kolej Komuniti Tawar Kursus Diploma Mulai Julai Minimize
Location: BlogsBuletin JeliBerita Parlimen Jeli    
Posted by: umnojeli_admin 02 Februari 2007

KEPALA BATAS 2 Feb 2007. – Kolej Komuniti yang mula beroperasi pada 2001 dan diberi penjenamaan semula hari ini, akan menawarkan kursus peringkat diploma mulai sessi pengajian Julai depan berbanding kursus jangka pendek dan peringkat sijil sahaja ketika ini.

   Antara kursus peringkat diploma yang dilaksanakan dengan kerjasama syarikat swasta termasuk Teknologi Automotif, Hotel dan Katering, Rekaan Fesyen dan Pakaian, Teknologi Elektrik dan Komputer.

   Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Mustapa Mohamed berkata, pelatih yang memperoleh keputusan cemerlang di peringkat diploma berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda di universiti tempatan.

   Pada masa yang sama, katanya, kementerian akan sentiasa memastikan semua 5,022 kursus yang ditawarkan di Kolej Komuniti ketika ini sentiasa relevan dengan keperluan semasa sektor industri dan swasta.

‘‘Pengubahsuaian akan dilakukan terhadap semua kursus supaya ia relevan dengan keperluan semasa. Selain itu, penekanan kepada latihan amali juga diberikan di mana 70 peratus latihan berbentuk amali dan 30 peratus lagi teori,’’ katanya.

   Beliau berkata demikian pada majlis penjenamaan semula Kolej Komuniti yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di sini hari ini.

   Menurutnya, ketika ditubuhkan, hanya terdapat 12 Kolej Komuniti perintis pada 2001 sebelum berkembang kepada 35 buah ketika ini.

   Kolej itu, jelas beliau, menyediakan kursus peringkat sijil dan jangka pendek kepada seramai 152,086 orang yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.

   ‘‘Kursus jangka pendek dan sesuai dengan semua lapisan masyarakat yang dianjurkan Kolej Komuniti memudahkan masyarakat mengikutinya dan memberi peluang kepada mereka meningkatkan kemahiran diri masing-masing,” katanya.

   Dengan meliputi lima skop program termasuk menawarkan kursus peringkat diploma, penjenamaan semula Kolej Komuniti itu juga merangkumi kerjasama antara kolej dan syarikat swasta, memperkenalkan skim elaun pelajar, menubuhkan kolej baru dan cawangan serta unit promosi dan pemasaran.

   Mustapa berkata, kerjasama dengan 33 syarikat swasta yang sebahagiannya merupakan syarikat milik kerajaan (GLC) bertujuan membolehkan Kolej Komuniti dan sektor swasta mendapat faedah dalam menyediakan peluang latihan kepada kakitangan serta pelajar.

‘‘Kerjasama itu juga membuka peluang pekerjaan kepada pelatih di samping membolehkan sektor swasta menyumbang peralatan dan kemudahan lain serta membangunkan kurikulum kolej mengikut keperluan industri,” katanya.

   Selain itu, skim elaun pelatih sebanyak RM250 sebulan mulai Julai ini bertujuan membantu meringankan perbelanjaan dan sara hidup mereka ketika di kolej itu.

   Sebanyak 35 Kolej Komuniti dan enam cawangan sedang beroperasi iaitu di Kepala Batas dan Bayan Baru di Pulau Pinang, Arau (Perlis), Jitra dan Sungai Petani (Kedah), Kuala Kangsar, Gerik, Sungai Siput Utara, Kampung Gajah dan Seri Manjung (Perak).

   Rawang, Batu Caves, Kuala Langat dan Kajang (Selangor) serta Bahau dan Kuala Klawang (Negeri Sembilan), Paya Rumput, Selandar, Bukit Beruang dan Merlimau (Melaka).

   Tangkak, Bandar Putra dan Batu Anam di Segamat, Kota Tinggi dan Pasir Gudang (Johor), Rompin, Karak, Mentakab dan Gambang (Pahang), Kuala Terengganu (Terengganu), Tawau (Sabah) serta Petra Jaya dan Kuching (Sarawak).

                                                                                                                                 - Utusan-

 

Permalink |  Trackback

  

 Kategori Minimize

      

 Buletin Jeli Minimize

    

 Buletin Jeli Minimize

    

Hak Cipta Terpelihara © 2006 HeiTech Padu Berhad   Terms Of Use  Privacy Statement