Carian  
06 Januari 2009 ..:: e-Buletin ::..   Daftar Masuk
 Pelajar Kolej Komuniti diberi Elaun RM 250 Minimize
Location: BlogsBuletin JeliBerita Parlimen Jeli    
Posted by: umnojeli_admin 03 Februari 2007

Pelajar Kolej Komuniti diberi Elaun RM 250

KEPALA BATAS 03 Feb 2007 -  Kolej Komuniti yang mula beroperasi sejak lima tahun lalu, mendapat nafas baru apabila Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan pelajar institusi itu akan diberi elaun RM 250 sebulan mulai pengambilan Julai depan.

   Perdana Menteri berkata, pemberian elaun itu membabitkan pelajar baru sama ada peringkat sijil mahu pun diploma.

  "Kerajaan berikan elaun itu kepada mereka yang layak," katanya pada Majlis Pelancaran Penjenamaan Semula Kolej Komuniti Kementerian Pengajian Tinggi di Dewan Milenium, Kepala Batas di sini, semalam.

   Pemberian elaun itu adalah antara lima perkara utama dalam program penjenamaan semula Kolej Komuniti bagi meningkatkan lagi imej dan kualiti lepasan institusi berkenaan. Ketika ini 120,000 pelajar menjalani latihan di 35 Kolej Komuniti di seluruh negara.

   Abdullah berkata, kerajaan memperuntukkan RM 529 juta bagi pembayaran elaun itu serta membina 25 kolej baru dan 20 cawangan institusi berkenaan.

   "Menjelang 2010, kita berharap bilangan pelatih yang mendapat latihan di kolej meningkat kepada 240,000 orang," katanya yang turut menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman 33 syarikat termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang akan bekerjasama dengan Kolej Komuniti.

   Antaranya United Engineers (Malaysia) Berhad, Telekom Malaysia Berhad, Proton Holdings Berhad, DRB-Hicom Berhad dan Naza Kia Sdn Bhd.

   Hadir sama, Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Mustapa Mohamed; Ketua Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali dan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim.

   Abdullah berharap penjenamaan semula kolej itu dapat meningkatkan peluang pelajarnya untuk mendapat pekerjaan.

   Mengenai kerjasama sektor swasta dalam penjenamaan semula Kolej Komuniti, Abdullah berkata, ia penting bagi memastikan lepasan kolej menepati keperluan sektor industri.

   "Sektor swasta akan turut sama memberi input dalam penggubalan kurikulum kursus dan dengan ini lepasan kolej akan menepati kehendak mereka," katanya sambil menambah sektor swasta juga menyediakan tempat latihan dan sumbangan peralatan serta kemudahan.

   Sehubungan itu, beliau mahu institusi pendidikan dan latihan mempertingkatkan kualiti pengajaran serta pembelajaran bagi memastikan pelajar dapat memanfaatkan ilmu dan kemahiran yang dipelajari.

   Perdana Menteri berkata, kerajaan mahu ilmu dan latihan yang diberi sentiasa relevan dengan keperluan semasa, sama ada untuk bekerja dengan sektor kerajaan dan swasta, mahupun bekerja sendiri.

   Kita mahu supaya anak muda dilihat sebagai satu aset, modal yang perlu diberi mutu yang tinggi, diperkaya dengan ilmu pengetahuan.

   "Dengan ini, mereka akan mempunyai keupayaan dan kebolehan untuk menokok tambah nilai supaya sepanjang hayat menjadi pekerja atau orang yang berguna serta memberi sumbangan kepada pembangunan masyarakat dan negara," katanya.

   Perdana Menteri berkata, untuk menjadi sebuah negara maju, Malaysia memerlukan modal insan yang mempunyai kemahiran serta berdaya saing, bukan saja di peringkat tempatan, malah di arena antarabangsa.

   "Kita tidak mahu kegagalan untuk bersaing akan menghakis segala keupayaan yang ada untuk menjadi sebuah negara maju," katanya.

                                                                                                                          -Berita Harian-

Permalink |  Trackback

  

 Kategori Minimize

      

 Buletin Jeli Minimize

    

 Buletin Jeli Minimize

    

Hak Cipta Terpelihara © 2006 HeiTech Padu Berhad   Terms Of Use  Privacy Statement