BUKIT BUNGA 29 JAN 2007 - Pelajar yang berdisiplin dan cukup ilmu akan menjauhkan diri daripada terlibat dengan gejala penagihan dadah.
Pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) jajahan Jeli, Wan Mohd Tazmi Wan Abdullah, berkata hasil daripada pendedahan pihaknya kepada pelajar mengenai bahaya dadah, ternyata mereka dapat menggelakkan daripada terpengaruh dengan najis itu.
Menurutnya, punca utama penagih dadah di kalangan pelajar adalah disebabkan pengaruh rakan sebaya sehingga mendorong mereka untuk mencuba.
Rakan sebaya merupakan musuh utama menarik mereka dalam kancah najis dadah.
"Jika mereka tidak pandai memilih kawan, secara tidak sedar sedikit demi sedikit mereka akan terpengaruh," katanya.
Menurut Mohd Jazmi, pihaknya telah mengadakan ceramah di Pusat Giat Mara (PGM) Jeli dan Kolej Komuniti Jeli baru-baru ini, bagi mendedahkan mereka mengenai bahaya dadah.
Menurutnya, perbincangan telah diadakan dan bersetuju supaya mereka dapat mewujudkan kerjasama dengan AADK bagi mengadakan ceramah, pameran dan latihan dalam kumpulan untuk kesedaran pelajar.
Program itu juga diadakan dengan saranan Menteri Pengajian Tinggi yang juga Ahli Parlimen Jeli, Dato’ Mustapa Mohamed , supaya pelajar dapat meningkatkan disiplin dan diterapkan dengan peraturan bagi membentuk jati diri.
-Sinar Harian-