KEMAHANG SATU 23 Jan 2007 - 100 peserta golongan miskin berjaya menamatkan kursus 'Celik ICT 2007' dan E-kerjaya yang mendapat potongan istimewa pihak penganjur baru-baru ini.
Menurut Penyelaras Program, Saiful Zahari ketika ditemui Sinar Harian di Era Timur Kemahang Satu, peserta program terdiri daripada pelajar dari pedalaman Machang, Kuala Krai, Jeli dan Tanah Merah kerana penumpuan dilakukan untuk golongan terbabit.
Program selama dua minggu itu dianjurkan Pusat Komputer Era Timur Cawangan Tanah Merah, mendedahkan para pelajar dengan Pengetahuan Teknologi Maklumat (ICT) sebagai persiapan awal menempuh alam kerjaya.
Penggabungan di antara teknologi komputer, multimedia dan sistem telekomunikasi pada masa kini semakin berkembang pesat.
"Perkembangan Teknologi Maklumat dan Telekomunikasi semakin meluas, penguasaan bidang ini perlu dan kursus ini mendedahkan setiap individu mengenali elemen atau kompenan utama yang membangunkannya," katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, pada akhir kursus, para peserta didedahkan dengan pengetahuan dan kemahiran mengenai konsep teknologi maklumat, implikasinya, mengenal apa itu komputer dan komponen-komponennya.
Turut didedahkan, ialah fungsi dan asas teknologi lain seperti Internet, penggunaan program Microsoft Windows dan pengendalian fail-fail dan folder di dalam komputer melalui program Windows Explorer.
- Sinar Harian-