PUTRAJAYA 23 Jan 2007 - Hampir 30 peratus daripada pelajar Kolej Komuniti, Politeknik dan universiti awam hanya menguasai Tahap 1 dan 2 Ujian Inggeris Universiti Malaysia (MUET), iaitu tahap terendah pada ujian berkenaan.
Sebahagian besar pelajar atau 43.3 peratus pula menguasai Tahap 3 dan 21.0 peratus lagi Tahap 4.
Kajian awal Kementerian Pengajian Tinggi tahun lalu, mendapati 5.7 peratus pelajar menguasai Tahap 1 dan 23 peratus Tahap 2, manakala 1.9 peratus saja menguasai Tahap 6 dan 5.1 peratus Tahap 5.
Menterinya, Dato' Mustapa Mohamed berkata, keputusan kajian awal itu menunjukkan tahap penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar kurang memuaskan.
Sehubungan itu katanya, semua universiti diarah mencari jalan meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar.
Bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan perutusan 2007 kementeriannya di sini semalam, beliau berkata, beberapa universiti kini mula mengadakan kelas tambahan khas bagi meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris.
"Kita juga berusaha meningkatkan penguasaan bahasa antarabangsa di kalangan pensyarah muda dan mengadakan kursus untuk pensyarah bidang tertentu yang memerlukan mereka mengajar dalam Bahasa Inggeris," katanya.
Mustapa bagaimanapun berkata, tahap penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar dan pensyarah sekarang tidak membimbangkan, tetapi perlu ditingkatkan bagi membolehkan Malaysia menjadi hab pendidikan tinggi rantau ini.
Beliau berkata, sebelum ini Majlis Naib Canselor mencadangkan pelajar universiti awam wajib menguasai Bahasa Inggeris Tahap 3 MUET sebelum menamatkan pengajian.
"Bagaimanapun, cadangan itu ditolak kementerian selepas mengambil kira sesetengah pelajar datang dari luar bandar dan program pengajian tidak memerlukan mereka menguasai bahasa antarabangsa dengan baik," katanya.
Mustapa berkata, kementerian juga sedang mengumpul data mengenai tahap penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan pensyarah universiti awam.
Mengenai dua Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang didakwa melahirkan doktor tidak berkualiti, Mustapa berkata, Lembaga Akreditasi Negara (LAN) bersama Majlis Perubatan Malaysia (MMC) sedang menyiasat dakwaan itu.
"Setakat ini, saya belum mendapat laporan terperinci. LAN bertanggungjawab kepada kualiti dan jika didapati benar, tindakan sewajarnya akan diambil," katanya.
Khamis lalu, Presiden MMC, Tan Sri Dr Ismail Merican berkata, dua kolej swasta itu mengeluarkan sehingga 300 doktor setahun dengan nisbah pensyarah dan pelajar 1:20 berbanding 1:6 yang ditetapkan MMC.
-Berita Harian-