KUALA LUMPUR 22 Jan 2007 - Kementerian Pengajian Tinggi bersedia mengambil tindakan tegas terhadap dua institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang didakwa melahirkan doktor dalam jumlah yang ramai serta diragui kualitinya.
Menterinya, Dato' Mustapa Mohamed berkata, pihaknya dengan kerjasama Kementerian Kesihatan sedang menyiasat IPTS terbabit yang dikatakan menawarkan kursus perubatan dengan kemampuan melahirkan 300 doktor setahun.
"Setakat ini, kita belum mendapat laporan terperinci mengenai IPTS terbabit dan akan terus berbincang dengan Kementerian Kesihatan.
"Kalau perlu tindakan tegas, kita akan ambil kerana kita tidak boleh berkompromi mengenai kebajikan pesakit yang dirawat oleh doktor yang tidak berkualiti," katanya selepas melancarkan Tabung Kebajikan dan Pendidikan Anak Kelantan (PAKATAN) sempena Majlis Bekwoh Anok Kelate dan Seminar Pembangunan dan Kebudayaan Kelantan di Universiti Malaya di sini, semalam.
Seminar itu adalah anjuran bersama Majlis Kemajuan Kelantan (MKK) dan Institut Pemikiran Kreatif (INSPEK).
Hadir sama Pengerusi MKK, Datuk Seri Annuar Musa, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin dan Timbalan Pengerusi MKK Datuk Noordin Abd Razak.
Jumaat lalu, akhbar melaporkan dua IPTS yang menawarkan kursus perubatan sedang disiasat berikutan dakwaan IPTS terbabit melahirkan doktor tidak berkualiti.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Chua Soi Lek yang enggan menamakan IPTS itu, bagaimanapun mengesahkan IPTS berkenaan sedang disiasat oleh satu jawatankuasa khas.
-Berita harian-