

JELI 15 Jan 2007 – Seramai 4 orang Pegawai Khdmat Singkat (PKS) dari Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah mengunjungi Parlimen Jeli selama 3 hari bermula Sabtu lalu.
Program anjuran bersama HeiTech Padu Berhad (HeiTech) dengan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Jeli bertujuan memberi pengalaman kepada mereka disamping beramah mesra dengan penduduk Jeli.
Pegawai-pegawai tersebut ialah Haron Arip, Mohamad Khair Mohd Seni, Mohd Rahmat Mohd Nazri dan Hazrin Adila Mohamad Hashim.
Program ini diselitkan dengan aktiviti temuramah Tokoh Politik, Tokoh Usahawan, serta Tokoh Veteran di Parlimen Jeli. Antara tempat-tempat yang dilawati mereka ialah Bazaar Bukit Bunga, R&R Jeli, Pusat Khidmat Rakyat Adun Ayer Lanas, Kolej Komuniti Cawangan Jeli dan Bandar Jeli.
Mereka berpeluang meninjau tapak pembinaan jambatan kedua menghubungkan Malaysia – Thailand menerusi pekan Bukit Bunga dengan Bukit Tar yang dijangka siap pada tahun 2008 bersama Ahli Parlimen Jeli, YB Dato’ Mustapa Mohamed.
Mereka juga sempat berbual dengan beberapa orang asli dari Kampung Sungai Rual ketika berkunjung ke Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Jeli.
“Program ini memberi pengetahuan dan pengalaman yang sangat berharga disamping mengenali Jeli dengan lebih dekat lagi. Saya rasa amat bertuah kerana diberi peluang melawat Jeli dan berharap dapat kembali semula untuk membantu pembangunan Jeli,” kata salah seorang pegawai, Hazrin Adila Mohamad Hashim.
Seorang lagi pegawai, Mohd Rahmat berkata, program ini boleh dijadikan program bulanan untuk mengeratkan silaturrahim antara penduduk Jeli dengan pegawai kementerian disamping mempromosikan Jeli di mata umum.
Mereka semua diraikan dengan makan malam di rumah To’ Pa di Darul Falah pada malam terakhir.
Mereka berangkat pulang ke Putrajaya hari ini bersama dua orang pegawai dari HeiTech.