
Antara Barangan Hasil Penggunaan Kertas Surat Khabar Lama
AYER LANAS 17 JUN 2009 – Kelab Pendidikan Khas Sekolah Menengah Kebangsaan Ayer Lanas mengaplikasi sepenuhnya kertas surat lama dijadikan bakul serta pelbagai barangan kraftangan, sewaktu membuat tinjauan, dekat sini, hari ini sempena Karnival Kerjaya sekolah berkenaan.
Hasil kreativiti mereka, para pelajar mampu menghasilkan pelbagai barangan yang amat menarik dan mampu mendapat tempat dipasaran.
Mengikut statistik setiap hari rakyat Malaysia menghasilkan 15,000 tan sampah pelbagai jenis dan ekoran senario tersebut, kerajaan telah melaksanakan kempen kitar semula yang secara tidak langsung dapat mengurangkan bahan tersebut.
Kitar semula bahan-bahan terpakai secara tidak langsung dapat memberi pelbagai kesan positif kepada persekitaran agar persekitaran lebih sihat dan bersih.
Antara lain kitar semula dapat mengurangkan pencemaran, menjimatkan kos, menjimatkan sumber, menjimatkan tenaga, menyelamatkan hutan dan sebagainya.
Ramai yang tidak sedar bahawa kita membuang sumber yang amat bernilai dan Malaysia mengimport lebih daripada 25,000 tan kertas buangan setiap bulan untuk menghasilkan produk kertas bagi menampung permintaan tempatan.
Bagi pelajar, Erni Rahman,15,yang ditemui berkata beliau cukup berminat dengan penghasilan barangan kraftangan dari barangan kitar semula sekali gus dapat menyokong kempen kitar semula yang diwar-warkan oleh pihak kerajaan.